Monday, November 28, 2011

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1433H

Assalamualaikum.

Semoga hijrah tahun baru ini menjadi langkah permulaan paling bermakna untuk kita sebagai Muslimah dalam kehidupan yang amat singkat ini. Kita juga bergelar isteri, ibu, anak, kakak, adik, sahabat, dan pelbagai lagi gelaran lain di dunia ini.

Semalam saya menghadiri solat berjemaah di rumah ibu saudara. Tertarik dengan ceramah pendek yang disampaikan oleh ustaz selepas solat Maghrib. Beliau menyebut bahawa dalam kehidupan ini, ada beberapa perkara yang perlu ditekankan dan diamalkan.

1. Islam
Wajib sebagai seorang Islam, kita menunaikan lima rukun Islam yang utama. Solat adalah antara perkara utama yang dihisab. Oleh itu, jagalah solat wajib dan ditambah lagi dengan amalan solat sunat.

2. Iman
Menjaga keimanan kita terutama menjaga rukun-rukun iman dalam Islam.

3. Ihsan
Berbuat baik dalam setiap pekerjaan atau perkara yang kita lakukan.

4. Ikhlas
Setiap amalan yang kita lakukan adalah kerana Allah S.W.T. semata-mata.

5. Amalan membaca selawat Nabi Muhammad S.A.W.
Elok diamalkan setiap hari untuk menjadi amalan harian.

Insya Allah! Mudah-mudahan saya dapat membaiki setiap kekurangan dalam diri dan meningkatkan lagi segala kelebihan yang ada. Amiiinnn...

P.S. Tiba-tiba teringat pesanan Ustaz, "Kita mesti sentiasa mengingati MATI kerana ia akan mengingatkan kita supaya tidak lalai dalam hidup ini." Bila hati merasa sedih dan jiwa merasa resah, saya cepat-cepat beristighfar. Betapa singkatnya hidup ini untuk kita penuhi dengan keluhan dan kesalan.

Semasa saya masih di sekolah rendah dan baru belajar tentang hari kiamat, pasti hati berdebar-debar menanti ketibaan hari Jumaat. Dikatakan matahari yang terbit di sebelah barat pada hari Jumaat menandakan hari itu ialah hari kiamat. Dan saya masih merasa debaran itu hingga sekarang.

Ya Allah! Hindarilah hambaMu ini dari sifat lalai terutama dari segi kewajipanku terhadap tuntutan agama Islam. Bimbinglah hambaMu ini ke atas jalan yang diredhai olehMu.

No comments: