Assalamualaikum.
Selamat pagi! Apa khabar semuanya? Pagi yang sungguh hening dan sunyi. Saya bangun awal hari ini kerana sudah berniat untuk berpuasa. Baru selesai bersahur. Cuma secangkir oat, biskut dan air mineral.
Semalam, saya terjumpa dengan seseorang yang saya sudah kenal agak lama. Kami jarang berjumpa namun setiap kali berjumpa, dia mesti tidak senang dan menunjukkan rasa tidak suka dengan kehadiran saya. Mula-mula saya tidak sedar, lama-kelamaan saya jadi kurang selesa dengan sikapnya. Pernah sekali dua, saya marah dengan sikapnya dan langsung tidak bertegur sapa dengannya. Ibu mertua menyedari dan mungkin menasihatinya, kerana dia tiba-tiba berubah jadi mesra dan menegur saya. Bagi saya, itu semua lakonan semata-semata. Kerana bila ibu mertua tiada, dia langsung tidak menegur saya.
Semalam juga begitu. Saya selalu berfikir, apa punca sebenarnya. Sebenarnya, hati manusia yang menjadi peranan utama. Kalau kita sentiasa berfikiran negatif, sentiasa ingin lebih atau hebat dari orang lain, cemburu, meninggi diri dan sombong, ia pasti nampak dengan jelas. Sikapnya banyak mengajar saya untuk menilai diri sendiri. Bukan sepertinya. Segala-galanya mesti hebat. Sedangkan dia tidak sedar yang banyak perkara menunjukkan dia tidak mahu saya lebih darinya.
Pernah suatu ketika, suami mempromosi gambar raya yang diambil suami dan rakan-rakan. Kebetulan baju raya kami dah siap dan akhirnya suami, saya dan Muhammad yang jadi model studio. Warna baju yang dipakai merah jambu terang dan sedondon. Suami sibuk mempromosi pakej studio kepada keluarga dan rakan-rakan yang lain. Tanpa saya sedari, rupa-rupanya dia tidak senang hati dengan kami. Semuanya terjawab pada hari raya pertama. Dia sibuk memberitahu orang lain tentang baju raya baru mereka yang dijahit pada malam raya. Warna merah juga dan sedondon. Dia sibuk mencanang yang warna merah jadi pilihannya kerana nampak terang dalam gambar. Hihihi... Kalau nak diceritakan, banyak yang menunjukkan dia tidak senang dengan saya. Hati perempuan, sukar nak dijelaskan. Semuanya nak dijadikan bahan ukur.
Sehingga hal anak-anak pun dijadikan cerita. Percaya atau tidak, jika saya katakan nama panggilan anak kami serupa. Kerana dia dan suami amat sukakan nama tersebut, sedangkan saya dan suami sudah pun menamakan anak kami. Lucu pun ada. Dia memang kuat cemburu agaknya.
Antara lain, tentang rezeki anak. Dia sibuk memberitahu orang lain yang dia mudah mengandung dan mudah melahirkan. Sedangkan saya mengandung terlebih dahulu dan kebetulan saya terpaksa menjalani pembedahan. Dia melahirkan secara normal tapi untuk kelahiran kedua, dia juga terpaksa menjalani pembedahan. Jangan bersikap takbur dan sombong, kita bukanlah hebat dalam segala hal.
Setelah melahirkan, memang menjadi perkara biasa untuk wanita mengalami berat badan berlebihan. Saya bersikap positif dalam hal ini kerana saya tidak anggap ia membebankan. Saya berusaha untuk mengawal berat badan dan memastikan kesihatan saya seimbang. Dia sibuk memberitahu orang lain tentang berat badannya yang sentiasa turun selepas melahirkan. Selepas kelahiran ketiga, dia mengalami berat badan berlebihan yang agak serius hingga sekarang. Saya tengok dia mengalami obesiti atau gemuk yang serius. Agaknya dia tidak senang dengan dirinya sendiri, dia jadikan saya sebagai bahan ukur. Terima kasih, saya terima dengan positif. Kerana hingga sekarang saya sentiasa jaga kesihatan saya. Tapi saya tengok dia masih juga begitu. Malah sentiasa menunjukkan dia tidak senang dengan saya. Hihihi... saya pula seronok tengok mukanya yang masam mencuka walaupun saya sakit hati dengan sikapnya. Yalah, baru semalam dia memberitahu saya yang gaji seorang ******* sepertinya dah mencecah sepuluh ribu ringgit. Mmm... Tak mengapa. Saya bersyukur dengan rezeki yang Allah S.W.T. kurniakan kepada saya dan suami. Alhamdulillah. Allah S.W.T. lebih memahami setiap hambaNya.
Cerita-cerita sebegini memang melucukan. Perangai manusia semuanya berpunca dari hati. Banyak yang saya simpan selama ini. Saya selalu terfikir, bila agaknya dia nak berubah dan sedar dengan kesilapannya. Hidup ini umpama roda. Kadang kala di atas, kadang kala di bawah. Kita tidak akan selalu berada di atas. Tapi dia tidak begitu. Kerana dia sentiasa mahu saya berada di bawah dan dia di atas. Sikap berpura-puranya membuatkan saya loya, sikap sombongnya membuatkan saya sedar tentang realiti kehidupan ini.
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu pernah menyampaikan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud :
“Hati-hati kalian dari persangkaan yang buruk (zhan) karena zhan itu adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kalian mendengarkan ucapan orang lain dalam keadaan mereka tidak suka. Janganlah kalian mencari-cari aurat/cacat/cela orang lain. Jangan kalian berlumba-lomba untuk menguasai sesuatu. Janganlah kalian saling hasad, saling benci, dan saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang Dia perintahkan. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, maka janganlah ia menzalimi saudaranya, jangan pula tidak memberikan pertolongan kepada saudaranya dan jangan merendahkannya. Takwa itu di sini, takwa itu di sini.” Beliau mengisyaratkan (menunjuk) ke arah dadanya. “Cukuplah seseorang dari kejelekan bila ia merendahkan saudaranya sesama muslim. Setiap muslim terhadap muslim yang lain, haram darahnya, kehormatan dan hartanya. Sesungguhnya Allah tidak melihat ke tubuh-tubuh kalian, tidak pula ke rupa kalian akan tetapi ia melihat ke hati-hati dan amalan kalian.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Wassalaam.




