Tuesday, May 10, 2011

Rezeki

Assalamualaikum.

Berbicara tentang rezeki, masih ramai yang tidak memahami tentang rezeki yang telah ditentukan untuk seseorang insan. Redha dengan ketentuan rezeki juga amat penting supaya kita lebih bersyukur dengan kurniaan Allah S.W.T.

Sekiranya kita inginkan sesuatu atau berusaha ke arah sesuatu tapi tidak mencapainya, maka kita harus redha bahawa itu bukan rezeki kita. Allah S.W.T. telah menyediakan yang lebih baik daripada itu untuk kita sebaliknya. Maka itu rezeki kita.

Saya juga sering tersasar dalam hal ini, "Kenapa tidak menjadi? Mengapa jadi begini?" Suami sering mengingatkan saya, "Itu bukan rezeki kita. Jangan mengeluh. Bersyukur. Allah S.W.T. telah menyediakan yang lebih baik untuk kita."

Rezeki ada dalam pelbagai bentuk. Rezeki anak, rezeki kerja, rezeki perniagaan, dan lain-lain. Semua ini kurniaan Allah S.W.T. dan kita harus bersyukur serta redha dengan ketentuanNya. Yang penting, kita harus berusaha dan berdoa untuk mencapai yang lebih baik daripada apa yang kita peroleh.

Saya tumpang gembira atas rezeki yang diperoleh orang lain. Tapi tidak ramai yang boleh berkongsi kegembiraan ini. Sebabnya? Mungkin atas dasar ingin mengatasi rezeki itu atau berlumba-lumba untuk mencapai lebih dari itu. Kadang-kadang sahabat sendiri pun tidak gembira atas kelebihan rezeki ke atas kita. Tidak mengapa. Saya doakan semoga mereka ini diberikan hidayah dan memahami bahawa rezeki itu ketentuan Allah S.W.T.

Alhamdulillah. Perjalanan hidup ini masih jauh dan banyak yang perlu dihadapi dan dipelajari. Semoga Allah S.W.T. sentiasa memurahkan rezeki dan membimbing hidup ini. Amiin...

No comments: