Alhamdulillah. Saya dapat memenuhi target untuk berpuasa pada setiap hari Isnin. Namun saya belum mencapai target untuk berpuasa pada hari Khamis kerana saya perlu mengajar selama 8 jam pada hari tersebut. Insya Allah. Saya tengah berusaha ke arah itu. :-D
Umat Islam digalakkan untuk berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Sebenarnya, ia elok sebagai persediaan sebelum kita berpuasa di bulan Ramadhan. Sebagai latihan awal untuk minda dan badan kita. Kita pun sedia maklum tentang kelebihan berpuasa yang telah dibuktikan dari segi sains; penghadaman, akal fikiran, fizikal, dan sebagainya.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah S.W.T.) pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa."
Hadis Hasan Gharib, Riwayat Tirmizi
Hari Isnin juga mempunyai keistimewaan yang lain.
Rasulullah S.A.W. bersabda, "Hari itu hari yang bersejarah kerana padanya aku dilahirkan, padanya aku diutus menjadi Rasul dan pada hari itulah (mula-mula) diturunkan Al-Quran kepada aku."
Riwayat Muslim
Bagi saya, berpuasa pada setiap hari Isnin adalah untuk mendisiplinkan diri sendiri, meningkatkan ibadah kepada Allah S.W.T. dan untuk lebih bersyukur kepada setiap rezeki dariNya. Selain dari itu, saya nak bayar puasa yang telah ditinggalkan sebelum ini. Tambahan pula, nak control pemakanan saya yang macam yo-yo ni. :-D
Dalam Islam, kita digalakkan untuk berpuasa sunat pada hari-hari berikut:
- Puasa enam dalam bulan Syawal iaitu berpuasa selama enam hari sama ada berturut atau tidak selepas 1 Syawal
- Puasa pada awal bulan Zulhijah iaitu dari 1 hingga 8 Zulhijah
- Puasa pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah
- Puasa pada 9 Muharram
- Puasa pada hari Asyura iaitu pada 10 Muharram
- Puasa dalam bulan Rejab (mengikut kemampuan)
- Puasa dalam bulan Syaaban kecuali pada 30 Syaaban(mengikut kemampuan)
- Puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis
- Puasa selama 3 hari dalam bulan Qamariah iaitu bulan Islam dalam tahun Hijrah
Sumber: http://jais.gov.my
Saya pernah dikenalkan kepada seorang pesara guru yang sangat sederhana orangnya. Beliau sangat peramah dan penyayang. Saya diberitahu temannya, beliau selalu berpuasa sunat dan tidak pernah tertinggal mengamalkannya. Keperibadian beliau yang tinggi membuatkan saya kagum dengan kesederhanaannya. Ini membuatkan saya teringin nak mencapai semua puasa sunat di atas. Tapi ibadah kita bukan sekadar berpuasa sunat, ia termasuk bersolat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan lain-lain. Insya Allah. Semoga Allah S.W.T. mempermudahkan segalanya untuk saya.
P.S. Anak-anak saya lahir pada pagi Isnin dan berat mereka kedua-duanya ialah 2.8 kg. Serta kedua-duanya emergency caesarian. Menarik dan menjadi ingatan saya sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment